Khamis, 15 Mac 2018

eGUMIS: Panduan Semakan Wang Tak Dituntut Online (Kemaskini 2018)


Nak semak wang tak dituntut online? Berikut apa yang anda perlu tahu tentang eGUMIS.
eGUMIS atau Electronic Government Unclaimed Money Information System akan dilancarkan bagi mempercepatkan proses semakan wang tak dituntut online. Berikut adalah garis panduan permohonan tuntutan WTD 2018.
Sistem tersebut boleh diakses terus di portal rasmi Jabatan Akauantan Negara Malaysia (JANM) bermula suku kedua tahun 2018.
Dalam satu sidang media, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata terdapat 52,015 permohonan tuntutan bayaran balik wang tidak dituntut telah dibuat pada tahun ini dengan 34,353 permohonan dari sekitar Kuala Lumpur sahaja.


SEMAKAN WTD ONLINE

Jabatan Akauntan Negara Malaysia akan turut menyertai Pusat Transformasi Komuniti Mudah Alih anjuran Kementerian Kewangan bagi membolehkan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar mengakses dan menyemak status wang tidak dituntut,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari tentang langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan wang tak dituntut.
Mengikut laporan, sehingga 31 Oktober 2017 jumlah wang yang tidak dituntut adalah RM5.96 bilion dengan 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh urusan perbankan seperti akaun simpanan, akaun semasa dan akaun simpanan tetap yang tidak aktif selama lebih tujuh tahun.

Untuk makluman, terdapat 3 kategori WTD seperti yang diberitahu oleh Jabatan Akauntan Negara (JANM).
1. Wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu (1) tahun.
  • gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan;
  • dividen;
  • keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan;
  • tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran;
  • draf bank, cashier’s order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput;
  • simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang;
  • cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai.
  • Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit.
2. Wang dalam sesuatu akaun yang tidak lagi dikendalikan oleh empunya akaun dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun.
  • akaun simpanan;
  • akaun semasa;
  • Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik).
Wang dalam sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun.
  • akaun pemiutang dagangan
  • akaun penghutang dagangan berbaki kredit
Semakan WTD online boleh dibuat di portal rasmi eGUMIS di https://egumis.anm.gov.my/.
Tiada sebarang caj dikenakan ke atas permohonan bayaran WTD. Mulai tahun 2016, bayaran serahan WTD adalah melalui Online Banking.
Perlu diingatkan Kementerian Kewangan atau  Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau agen untuk urusan tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut. Jadi pastikan anda berhati-hati sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba memanipulasi WTD dengan mengenakan sebarang caj tambahan.
Cara Membuat Semakan Wang Tak Dituntut
Sementara menunggu sistem WTD online eGUMIS aktif sepenuhnya, anda boleh membuat semakan online WTD di seluruh negara. Caranya seperti berikut:
  1. Sila ke kaunter JANM pada waktu bekerja
  2. Bawa bersama beberapa dokumen penting seperti MyKAD termasuk salinan sijil kematian sekiranya ingin menyemak bagi si mati
  3. Serahkan dokumen di kaunter JANM untuk pendaftaran
  4. Pegawai JANM yang bertugas akan membuat semakan WTD
  5. Status WTD akan diketahui dalam beberapa minit sahaja tanpa eGUMIS
  6. Pegawai berkenanan akan menyenaraikan segala wang yang boleh dituntut beserta cara membuat tuntutan
  7. Sama seperti eGUMIS semakan ini 100% percuma

CARA MEMBUAT TUNTUTAN WTD EGUMIS

Apabila Pendaftar WTD berpuashati bahawa pemohon adalah empunya yang sah, Pendaftar akan membayar kepada pemohon Wang Tak Dituntut dari Akaun Amanah Disatukan atau Akaun Hasil Disatukan.


Pemohon perlu menyakinkan Pendaftar WTD bahawa beliau adalah empunya sah atau mempunyai hak di sisi undang-undang ke atas WTD tersebut.
Tiada tempoh masa yang dihadkan bagi permohonan tuntutan WTD.
Pendaftar WTD telah menetapkan garis panduan permohonan tuntutan WTD dengan menyenaraikan dokumen yang perlu dikemukakan semasa membuat tuntutan (Sila rujuk Brosur Garis Panduan Permohonan Tuntutan WTD).
Jabatan Akauntan Negara juga menyediakan perkhidmatan ePenyata Gaji bagi memudahkan urusan semakan slip gaji online.

SENARAI SEMAK DOKUMEN DIPERLUKAN EGUMIS

Bagi membuat permohonan tuntutan WTD, ada beberapa dokumen perlu dibawa bersama antaranya:
  • Borang UMA-7 yang lengkap diisi dan ditandatangani.
  • Salinan kad pengenalan (hadapan dan belakang)/pasport pemohon bagi bukan warganegara.
  • Dokumen asal (Contoh: buku bank/sijil simpanan tetap dan lain-lain).
  • Surat pengesahan daripada syarikat yang membuat serahan WTD hendaklah disertakan jika dokumen asal tiada.
  • Salinan muka hadapan buku akaun/penyata bank pemohon yang aktif serta disahkan oleh pihak bank (bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun)
Untuk maklumat lanjut anda boleh hubungi pejabat pendaftar WTD di alamat berikut:
Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)
Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut,
Tingkat 42, Menara Maybank
100 Jalan Tun Perak
50050 Kuala Lumpur
Tel: 03-2056 8000
Faks : 03-2072 5707 /2026 7430
Tanggungjawab Pendaftar WTD
  1. Pemegang amanah terhadap WTD yang diterima.
  2. Membayar balik WTD kepada empunya WTD sekiranya terdapat permohonan tuntutan.
  3. Memeriksa rekod syarikat atau firma bagi memastikan kepatuhan peruntukan Akta.
  4. Mencadangkan kompaun dan hukuman denda terhadap syarikat atau firma yang gagal mematuhi peruntukan Akta.
Makluman Serahan WTD Bagi Tahun 2017
Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, Pendaftar WTD sedang dalam usaha pembangunan sistem baru yang membolehkan syarikat/firma membuat serahan WTD secara atas talian (online).
Walau bagaimanapun, dukacita dimaklumkan bahawa sistem baru eGUMIS masih dalam peringkat pembangunan dan oleh demikian prosedur sedia ada bagi serahan WTD (bagi tahun berakhir 31 Disember 2016) adalah dikekalkan.
Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak syarikat/firma untuk mematuhi tarikh akhir penyerahan dokumen WTD iaitu selewat-lewatnya 31 Mac 2Q17. Pihak syarikat/firma perlu memastikan serahan WTD kepada Pendaftar adalah lengkap dengan perkara berikut:
  • Bukti bayaran serahan kepada Pendaftar iaitu Resit Online Banking;
  • Dua (2) salinan asal Serahan Wang Tak Dituntut – Borang UMA4 (Pin. 1/2016);
  • Tiga (3) salinan asal Daftar Wang Tak Dituntut – Borang UMA3 (Pin. 1/2002);
  • Satu (1) salinan softcopy (cd) Daftar Wang Tak Dituntut UMA3
Pihak Pendaftar WTD akan membuat hebahan mengenai pelaksanaan sistem baru kaiak melalui laman web rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia (www.anm.gov.mv) dan akan memastikan syarikat/firma diberi masa yang mencukupi untuk membuat apa-apa pengubahsuaian sistem bagi memenuhi keperluan sistem serahan WTD secara talian (online) nanti.
Proses Serahan WTD
Berikut adalah proses serahan daftar wang tak dituntut bagi tahun berakhir 31 Disember 2016.

Seksyen 10 Akta Wang Tak Dituntut 1965, syarikat/firma bertanggungjawab untuk perkara berikut:
  1. Menyelengggara dan menyimpan satu daftar bagi wang yang tidak dituntut sehingga 31 Disember mengikut format yang ditetapkan oleh Pendaftar WTD.
  2. Menyerahkan wang beserta dengan daftar wang tak dituntut tidak lewat dari 31 Mac tahun berikutnya.
  3. Mengemukakan daftar wang tak dituntut bagi tujuan pewartaan.
Mulai tahun 2016, bayaran serahan WTD adalah melalui Online Banking. Untuk maklumat lanjut anda boleh baca dengan lebih terperinci termasuk muat turun borang penting WTD di web rasmi JANM di anm.gov.my

-JM

Khamis, 8 Mac 2018

Trem Pertama Di Malaysia







Malaysia bakal memiliki sistem perkhidmatan trem yang pertama diwujudkan di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang, sekali gus mengubah landskap pengangkutan awam negara setanding negara maju.



Buat permulaan, trem ini akan beroperasi sejauh 53 kilometer membabitkan kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang



Trem ini dihubungkan dengan pengangkutan awam yang lain antaranya Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas bagi memudahkan akses orang ramai

Dari segi kepesatan ekonomi juga akan bertambah dan semakin maju



Pengumuman ini sekaligus akan melonjakkan lagi booster hartanah di kawasan Bangi, Putrajaya, Kajang dan Cyberjaya. 


-JM

Rabu, 7 Mac 2018

Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2017 Untuk e-Filing 2018




Jika disemak di laman web Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN), nampaknya senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 untuk e-filing 2018 dah dikeluarkan.
Bagus juga apabila senarai ini dikeluarkan awal.
Boleh kenalpasti perbelanjaan-perbelanjaan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar nanti.
Dengan masa yang masih berbaki sebelum pengakhiran 2017 ini, masih sempat untuk buat perbelanjaan-perbelanjaan tersebut supaya dapat membuat tuntutan pelepasan cukai seoptimumnya.
Di samping itu, senang untuk pembayar-pembayar cukai mengumpul dokumen dan resit supaya dapat dirujuk semasa mengisi e-filing bermula 01 Mac 2018 nanti.
Apabila semua dokumen dah tersedia, boleh isi e-filing dengan tenang sesegera mungkin.
Isi e-filing awal, boleh selesaikan urusan pembayaran cukai pendapatan awal.
Kalau ada lebihan bayaran cukai pula, boleh dapat awal duit lebihan tersebut.
Bolehlah disimpan, dilaburkan atau dibelanjakan kepada perkara-perkara yang bermanfaat.
Baiklah, tanpa membuang masa, jom kita lihat senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 untuk e-filing 2018 yang disiarkan di laman web LHDN:


ika dilihat, terdapat 22 kategori pelepasan cukai pendapatan 2017 yang disenaraikan di atas.
Daripada 22 kategori ini, ada yang dikekalkan daripada tahun-tahun terdahulu, dan ada juga yang baru ditambah.
Jom kita perhalusi satu per satu senarai pelepasan cukai pendapatan di atas:
Pelepasan cukai #1 – Individu dan saudara tanggungan
Masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pelepasan diri sebanyak RM 9,000 untuk diri-sendiri dan saudara tanggungan diberikan secara automatik apabila mengisi e-filing nanti.
Pelepasan cukai #2 – Penjagaan ibu bapa
Pelepasan ini masih mengekalkan syarat yang sama seperti pada tahun 2016.
Bagi penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas, pelepasan yang diberikan berjumlah RM 5,000
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah:
  • Keadaan kesihatan ibu bapa disahkan oleh pengamal perubatan berkelayakan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council, MMC)
  • Ibu bapa mestilah bermaustatin di Malaysia
  • Rawatan perubatan dan khidmat penjaga yang diambil disediakan di dalam Malaysia
Bagi penjagaan ibu bapa yang sihat, yang tidak memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas, pelepasan yang diberikan adalah sebanyak RM 3,000 bagi kedua-dua ibu bapa atau RM 1,500 bagi ibu atau bapa.
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi layak menuntuk pelepasan ini adalah:
  • Anak kandung atau anak angkat yang sah di bawah undang-undang sahaja layak membuat tuntutan
  • Tuntutan ke atas ibu bapa tiri adalah tidak dibenarkan
  • Tidak membuat tuntutan bagi ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas dan khidmat penjagaan
  • Jika lebih daripada seorang anak membuat tuntutan, amaun tuntutan perlu dibahagi sama rata mengikut bilangan individu yang menuntut
  • Ibu dan/atau bapa berusia 60 tahun atau ke atas dalam tahun taksiran, dan bermaustatin di Malaysia
  • Pendapatan ibu atau bapa tidak melebihi RM 24,000 setahun seorang pada tahun taksiran

Pelepasan cukai #3 – Peralatan sokongan khas
Bagi pembelian peralatan sokongan khas bagi individu kelainan upaya (OKU) sama ada untuk diri-sendiri, pasangan (suami/isteri), anak-anak atau ibu bapa, boleh menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000
Pelepasan cukai #4 – Individu kelainan upaya (OKU)
Bagi golongan OKU, selain dapat membuat tuntutan pelepasan individu seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga boleh menuntut pelepasan OKU sebanyak RM 6,000
Pelepasan cukai #5 – Yuran pengajian sendiri
Bagi individu yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) dan lanjutan (Sarjana dan Doktor Falsafah), layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 7,000 bagi bayaran yuran penganjian tahunan
Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah:
  • Pengajian di institusi atau badan profesional di Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, atau diluluskan oleh Menteri Kewangan
  • Kursus pengajian peringkat tertiari: Bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi
  • Kursus pengajian peringkat lanjutan: Sebarang bidang atau kursus pengajian
  • Tidak mendapat apa-apa tajaan daripada mana-mana pihak atau skim biasiswa

Pelepasan cukai #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati
Jika ada mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan perubatan penyakit-penyakit yang sukar diubati, sama ada bagi rawatan untuk diri-sendiri, pasangan (suami/isteri) atau anak-anak, layak membuat tuntutan sehingga RM 6,000
Penyakit-penyakit yang terlibat adalah sindrom kurang daya tahan (AIDS), Parkinson, barah, penyakit buah pinggan, leukemia, sakit jantung, darah tinggi oulmonari, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepada dengan defisit neurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ, serta pemotongan kaki dan/atau tangan.
Pelepasan cukai #7 – Pemeriksaan perubatan
Bagi pemeriksaan perubatan menyeluruh yang dilakukan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak-anak, pelepasan sebanyak RM 500 adalah dibenarkan.
Namun begitu, jumlah tuntutan bagi pelepasan #6 dan #7 adalah terhad sehingga RM 6,000 sahaja.
Pelepasan cukai #8 – Perbelanjaan gaya hidup

Ini adalah kategori baru yang diperkenalkan untuk tahun taksiran 2017, sepertimana yang dibentangkan dalam Bajet 2017 dahulu.
Kategori ini diperkenalkan untuk membantu orang ramai meringankan kos sara hidup masing-masing.
Antara perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan dalam kategori ini adalah:
  • Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan penerbitan (selain bahan bacaan terlarang) untuk diri sendiri, pasangan (suami/isteri) atau anak-anak
  • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor) (boleh lihat senarai lengkap aktiviti-aktiviti sukan yang dibenarkan dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)
  • Bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak
  • Bayaran langganan internet


Jumlah pelepasan yang dibenarkan adalah sehingga RM 2,500 bagi semua perbelanjaan di atas.
Pelepasan cukai #9 – Pembelian peralatan penyusuan
Bagi menghargai jasa golongan wanita (ibu) dan menggalakkan penyusuan badan, kategori ini diperkenalkan ke dalam senarai pelepasan cukai pendapatan 2017.
Bagi pembelian peralatan penyusuan, pelepasan sehingga RM 1,000 adalah diberikan.
Pelepasan cukai #10 – Yuran Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah
Ini juga adalah kategori baru yang diperkenalkan untuk meringankan beban ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Pusat Asuhan Kanak-kanak atau Pra-sekolah.
Pelepasan sehingga RM 1,000 adalah diberikan untuk kategori ini.



Pelepasan cukai #11 – Tabungan bersih dalam skim Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
Bagi yang membuat tabungan dalam SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus, boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM 6,000
Pelepasan ini dikira berdasarkan jumlah tabungan bersih, iaitu jumlah simpanan sepanjang 2017 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2017 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Pelepasan cukai #12 – Faedah pembelian rumah
Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepadaRM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.
Pelepasan ini bukan untuk semua pembeli rumah.
Untuk syarat-syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.
Pelepasan cukai #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada bekas isteri
Jika si isteri tidak mempunyai punca pendapatan/jumlah pendapatan, maka si suami boleh menuntut pelepasan isteri sebanyak RM 4,000
Begitu juga jika si suami tidak mempunyai punca pendapatan/jumlah pendapatan, maka si isteri juga boleh menuntut pelepasan suami sebanyak RM 4,000
Pelepasan ini juga boleh dituntut oleh suami atau isteri jika memilih taksiran bersama, dengan jumlah pelepasan sebanyak RM 4,000
Jika ada membuat bayaran nafkah/alimoni kepada bekas isteri, juga layak menuntut pelepasan ini sehingga RM 4,000
Walaubagaimanapun, bayaran nafkah/alimoni secara sukarela kepada bekas isteri di bawah perjanjian bersama tanpa sebarang perjanjian rasmi tidak layak dituntut sebagai pelepasan cukai.
Pelepasan cukai #14 – Pasangan orang kelainan upaya (OKU)
Pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500 boleh dituntut jika mempunyai pasangan (suami/isteri) OKU.
Pelepasan cukai #15 – Anak di bawah umur 18 tahun
Jika mempunyai anak/anak-anak di bawah umur 18 tahun yang belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 2,000 bagi seorang anak.
Pelepasan cukai #16 & #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas
Jika mempunyai anak/anak-anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 2,000 seorang.
Jika mempunyai anak/anak-anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:
  • mengikuti kursus di peringkat diploma dan ke atas di institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (tidak termasuk kursus matrikulasi/pra-ijazah)
  • mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar Malaysia
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan
maka, layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 8,000 setiap orang anak.
Pelepasan cukai # 18 – Anak orang kelainan upaya (OKU)
Jika mempunyai/menjaga anak/anak-anak OKU (sebarang umur), maka boleh menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 bagi setiap orang anak OKU.
Pelepasan tambahan sebanyak RM8,000 seorang diberikan jika mempunyai/menjaga bagi anak/anak-anak OKU berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.
Nota tambahan untuk pelepasan cukai #15, #16, #17 & #18
Semasa isi e-filing untuk kesemua pelepasan cukai di atas, ambil perhatian akan 3 perkara berikut:
  • Bilangan – Isikan jumlah bilangan anak yang layak dituntut pelepasan sepenuhnya (Kelayakan 100%) atau sebahagiannya (Kelayakan 50%) oleh individu.
  • Kelayakan 100% – Ruang ini untuk diisi oleh individu yang layak menuntut pelepasan anak sepenuhnya.
  • Kelayakan 50% – Ruang ini hanya berkenaan jika dua atau lebih individu (bukan suami isteri yang tinggal bersama) layak menuntut potongan berhubung bayaran yang dibuat ke atas anak yang sama, dan setiap individu tersebut layak menuntut 50% daripada pelepasan yang dibenarkan sebagai potongan. Contohnya apabila berlaku perceraian dan terdapat dua atau lebih individu yang layak menuntut potongan ke atas anak yang sama.
  • Taksiran Berasingan – Individu dan suami / isteri perlu memilih pelepasan ke atas setiap anak yang ingin dituntut masing-masing. Contohnya, Abu dan Siti mempunyai 5 orang anak, maka tuntutan yang boleh dibuat sama ada Abu 5, Siti 0; Abu 4, Siti 1; Abu 3, Siti 2; Abu 2, Siti 3; Abu 1, Siti 4 atau Abu 0, Siti 5.

Pelepasan cukai #19 – Insurans/takaful nyawa & KWSP
Bagi yang melanggan pelan perlindungan insurans/takaful nyawa yang melindungi individu, isteri atau suami (tidak termasuk anak-anak), serta mencarum dalam skim KWSP atau kumpulan wang lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (bahagian caruman sendiri), sama ada melalui potongan gaji atau bayaran sendiri, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000maksimum.
Contohnya, anda mencarum pelan takaful nayawa RM 2,400 setahun dan KWSP RM 6,000 setahun, maka pelepasan yang layak dituntut adalah RM 6,000 sahaja.
Pelepasan cukai #20 – Skim Persaraan Swasta, SPS (Private Retirement Scheme, PRS) atau Anuiti Tertunda (Deferred Annuity)
Pelepasan ini khas untuk mereka yang menyertai atau menambah simpanan ke dalam skim PRS yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti atau mencarum dalam skim anuiti tertangguh.
Jumlah pelepasan yang layak dituntut adalah sehingga RM 3,000 maksimum.
Pelepasan cukai #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan
Pelepasan sehingga RM 3,000 diberikan jika ada mencarum atau melanggan skim insurans/takaful pendidikan dan perubatan, sama ada untuk diri-sendiri, pasangan dan juga anak-anak.
Pelepasan diberikan kepada caruman melalui potongan gaji, atau pun bayar sendiri tanpa melalui potongan gaji.
Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)
Pelepasan cukai #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Pelepasan tidak melebihi RM250 dibenarkan bagi sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dibuat atau ditanggung oleh individu.
Pelepasan cukai pendapatan yang digugurkan
Kita dah pun meneliti satu per satu senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 yang akan digunakan apabila mengisi e-filing bermula Mac 2018 nanti.
Sekarang, jom kita lihat pelepasan cukai pendapatan 2016 yang digugurkan daripada senarai 2017 di atas:
  • Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan – RM 1,000
  • Pembelian komputer peribadi untuk individu (sekali setiap 3 tahun) – RM 3,000
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan – RM 300
Ketiga-tiga pelepasan ini tidaklah digugurkan sepenuhnya, sebaliknya disatukan di bawah satu kategori, iaitu pelepasan cukai #8 perbelanjaan gaya hidup.
Malah, ditambah baik dengan membenarkan tuntutan pelepasan bagi langganan akhbar, pembelian telefon pintar atau tablet, bayaran keahlian gimnasium dan langganan internet.

Penutup
Selain derma, hadiah dan rebat cukai, pelepasan cukai pendapatan juga adalah penting untuk mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang dikenakan.
Untuk layak mendapat pelepasan cukai yang disenaraikan, perlulah melakukan perbelanjaan-perbelanjaan berkaitan pada tahun taksiran cukai tersebut.
Sebagai contoh, bagi tahun taksiran 2017, perbelanjaan-perbelanjaan tersebut hendaklah dilakukan pada tahun 2017.
Pengisian e-filing pula akan dilakukan pada tahun 2018, kebiasaannya bermula 01 Mac setiap tahun.
Di samping itu, dokumen-dokumen berkaitan seperti resit dan penyata hendaklah dikumpul dan disimpan dengan baik untuk memudahkan rujukan dan juga pengauditan jika diminta oleh pihak LHDN.
Itu sahaja perkongsian kali ini berkenaan senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 untuk e-filing 2018.
Semoga bermanfaat untuk semua dan dapat membantu ketika mengisi e-filing nanti.
Credit: jomurusduit
-JM













Cukai SST 2.0 Yang Patut Anda Tahu dan Fahami

Baru-baru ini,  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  atau Royal Malaysian Customs Department (RMC) telah mengeluarkan dokumen bertajuk G...