Isnin, 5 Mac 2018

Senarai 10 Negara Pengeluar Emas Terbesar Di Dunia


Sifat Emas

Emas merupakan logam berwarna kuning berkilauan yang perlu dilombong kerana ia tidak boleh dicipta. Namun begitu, emas juga boleh berwarna seperti delima atau hitam apabila dibahagi dengan halus. Warna emas adalah disebabkan oleh frekuensi plasmon emas yang terletak pada julat penglihatan, mengakibatkan warna merah dan kuning dipantulkan sementara warna biru diserap.
Emas juga mudah ditempa dan dimulurkan sehingga apabila 1 gram emas yang ditempa boleh menjadi satu kerajang bersaiz satu meter panjang dan satu meter lebar atau 1 auns kepada 300 kaki2. Oleh sebab itu, emas biasanya dipadukan atau dialoikan dengan logam lain seperti perak (argentum) dan tembaga (kuprum) untuk menjadikan lebih keras. Emas yang dialoikan ini biasanya dibentuk untuk dijadikan emas hiasan (barangan kemas) atau duit syiling kerana sifatnya akan menjadi lebih keras dan membolehkan emas ini dibawa dan dipegang tanpa risau ia akan bengkok atau terhakis.
Tambahan lagi, emas juga merupakan pengalir elektrik yang baik. Sifat ini menjadikan emas muncul sebagai logam industri penting pada akhir abad ke 20. Emas digunakan dalam pembuatan lapisan nipis elektroplat pada permukaan penyambung elektrik yang biasanya didapati dalam litar barang-barang elektronik seperti komputer dan alat telekomunikasi. Oleh sebab itu, terdapat segelintir daripada kita yang giat mengumpul emas yang terdapat pada perkakasan elektronik lama dan rosak.

Ketulenan Emas

Karat adalah ukuran ketulenan emas dalam aloi. Setiap karat mewakili nisbah ketulenan 1 / 24, yang menunjukkan berapa banyak bahagian-bahagian daripada 24 adalah tulen. Oleh itu, 24 karat emas adalah tulen, manakala 18 karat emas ¾ emas dan ¼ aloi (Dictionary of international trade: handbook of the global trade community by Edward G. Hinkelman).
Berikut adalah beberapa contoh yang biasa digunakan:
24-karat = 0,995-0,000 tulen emas
22-karat =0,916 tulen emas
18-karat = 0,750 tulen emas
14-karat = 0,583 tulen emas
10-karat = 0,4167 tulen emas
________________________________________________________________________________________________
Pelombong emas berlumba-lumba mendapatkan emas dengan sebanyak mungkin. Peluang yang datang sama sekali tidak akan dibiarkan terlepas begitu sahaja. Masing-masing bijak dalam mengambil peluang dengan cara tersendiri meskipun terpaksa berebut dan bergaduh.
Emas yang telah dihasilkan dalam pelbagai bentuk telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh manusia dalam banyak aspek pada kehidupan mereka. Bukan sahaja digunakan sebagai perhiasan, namun ianya juga sering dijadikan sebagai pelaburan. Setakat yang kita lihat, nilai emas dapat mengatasi inflasi.
Emas juga dipandang mulia dan di seluruh pelusuk dunia. Jom lihat 10 negara yang menjadi pengeluar emas terbesar dunia.

1. China

Pengeluaran keseluruhan negara China telah mencapai 360 tan pada setiap tahun. Lima tempat perlombongan emas terbesar di China adalah di Shandong, Henan, Jiang Xi, Fujian dan Mongolia.
                                       Sumber: The Telegraph

2. Australia

Negara ini telah menghasilkan sebanyak 270 tan emas setiap tahun. Tiga wilayah yang menjadi penghasil terbesar adalah di Australia Selatan, Australia Barat, dan New South Wales.

3. Amerika Syarikat

Negara ini pula telah menghasilkan jumlah keseluruhan emas sebanyak 237 tan setahun. 75% daripada penyumbang emas adalah daripada Nevada. Tiga lokasi lain yang turut menyumbang kepada penghasilan emas terbesar di Amerika Syarikat adalah di Utah, Colorado dan juga Alaska.

4. Rusia

Keseluruhan emas di Rusia mampu mencapai sehingga 200 tan setiap tahun. Daerah Chutka, Voro, Olympiada dan Khabarovsk adalah merupakan lombong emas terkemuka di Rusia.

5. Afrika Selatan

Jumlah keseluruhan penghasilan emas di Afrika Selatan telah mencapai 190 tan setahun. Tempat perlombongan emas utama di Afrika Selatan adalah di Witwatersrand Basin Archaen.

6. Peru

Peru telah menghasilkan sebanyak lebih kurang 150 tan emas setahun. Lombong emas terbesar di Peru adalah di La Libertad, Cajamarca, Arequipa dan Apurimac.

7. Kanada

Seterusnya, pengeluaran emas di Kanada kini mencapai 110 tan pada setiap tahun. Di Ontario, terdapat lombong emas terbesar di Kanada dengan menyumbang sebanyak 50% emas daripada penghasilan emas di Kanada.

8. Ghana

Ghana sering mengalami kenaikan pengeluaran emas yang tinggi pada setiap tahun. Pengeluaran emas kini mencatatkan kenaikan sebanyak 22% setiap tahun. Jumlah pengeluaran emas di Ghana kini mencapai 100 tan setahun, lombong emas di Ghana pula terletak di bahagian Barat Laut dan Barat Daya Ghana.

9. Indonesia

Negara jiran kita iaitu Indonesia juga mengeluarkan emas yang mencapai 100 tan setahun. Namun malangnya, penghasilan emas di negara ini menghadapi penurunan. Lombong emas terbesar di Indonesia pula terletak di Papua.

10. Uzbekistan

Pengeluaran emas di negara ini mencapai 90 tan setiap tahun. Salah satu lombong emas terbesar dunia yang berada di Uzbekistan adalah di Muruntau di Gurun Kyzylkum.
Disclaimer: Pelabur emas di nasihatkan menimba ilmu bagaimana untuk melabur emas dengan cara yang betul dahulu dan mencari mentor yang betul
Sumber: Majalah Labur
-JM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cukai SST 2.0 Yang Patut Anda Tahu dan Fahami

Baru-baru ini,  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  atau Royal Malaysian Customs Department (RMC) telah mengeluarkan dokumen bertajuk G...